Selasa, 19 Julai 2011

Perjalanan Blog Menara Kehidupan

Pada hari ini rasanya ingin berkongsi cerita mengenai sejarah blog menara kehidupan ini kepada semua. Pada awal kemunculannya hanyalah untuk menunaikan hajat isteri yang ingin ada blog sendiri dan menyimpan gambar-gambar kenangan hidup untuk diingati oleh kami tetapi pada akhirnya menjadi rutin harian yang seronok untuk dilakukan dan yang terbaru pula berblog boleh menjana pendapatan. Pada awal kemunculannya kami terfikir apakah isi-isi yang hendak dimuatkan di dalamnya tetapi setelah dua bulan berlalu rupa-rupanya pelbagai isi boleh kita coretkan. Sokongan dari rakan rakan sekerja warga MMU di Multimedia Universiti serta pelayar-pelayar bebas yang lain dalam halaman blog kami ini memang kami amat berterima kasih tidak terhingga.

Semenjak awal penubuhan blog ini sehingga kini telah mencatatkan kadar pertumbuhan pembaca dan pelayar yang memberangsangkan. Pada awalnya kami memang tidak sangka sehingga ke tahap ini kerana saingan dari Facebook, Tagged dan lain-lain lagi tetapi bila kami fikirkan blog ini sebagai kenangan untuk anak-anak kami dan generasi seterusnya kami pun memulakan langkah pembikinan blog menara kehidupan ini. Blog ini lebih menitikberatkan pada sumber-sumber yang terjadi di sekitar kami iaitu di Puchong, Cyberjaya, Putrajaya dan Sepang untuk dirakamkan kenangan kami sepanjang laluan hidup kami ini. Begitu juga jika kami menjelajah ke mana-mana tempat juga kami rakamkan untuk tatapan semua.

Gambar-gambar yang kami rakamkan mungkin tidak bernilai untuk hari ini tetapi kami percaya bahawa suatu masa nanti gambar-gambar yang pernah kami rakamkan ini akan menjadi berharga untuk pedoman di masa hadapan. Setiap fakta sejarah tetap akan diingati dan begitu jualah perjalanan hidup kami kerana kami merasakan masih tidak terlambat lagi untuk kami mulakan catatan perjalanan sebuah kehidupan. Ini juga sebagai diari catatan yang berguna untuk anak-anak kami bahawa suatu ketika dahulu mereka mempunyai ayah dan ibu yang amat menyayangi mereka dan sanggup berhujan panas bersama untuk membesarkan mereka.

Catatan

Bermulanya menara kehidupan ini dengan terbitnya catatan yang pertama iaitu blog ini dicipta untuk isteri tersayang dan terus berkembang melebarkan catatannya sehingga ke hari ini. Catatan yang tertinggi pelayarnya adalah mengenai perkembangan taman desa sri qaseh yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi. Kami sedar mungkin pelayar-pelayar ini bakal berjiran dengan kami dan kami juga merasa gembira jika dapat bersuai kenal walaupun hanya di alam maya ini. Walau apapun catatan yang kami terbitkan memang ia merupakan suatu yang bernilai untuk kami sekeluarga. Rajah di bawah menerangkan secara terperinci perkembangan catatan kami




Statistik Pelayar

Jumlah statistik pelayar yang mengunjungi halaman kami di dalam blog menara kehidupan juga menunjukkan perkembangan yang mengembirakan kami. Mereka datang dari segala ceruk perantara yang terdapat di dalam layar maya ini. Kami sehingga kini jua masih tertanya-tanya masih adakah mereka-mereka yang berminat untuk membaca blog kami ini sehinggalah statistik menunjukkan sebaliknya. Pelayar yang paling ramai berkunjung ke halaman kami iailah dari Forum komuniti Salak Tinggi yang tidak putus-putus memberi sokongan dengan mengikuti perkembangan semasa kemajuan taman perumahan Taman Desa Sri Qaseh ini. Sehingga kini ia telah mecatat sehingga 8000 paparan halaman di dalam blog menara kehidupan. Dengan ini kami memaparkan statistik kami sehingga kini untuk tatapan bersama



Pelayar atau Pengunjung

Di ruangan inilah kami dengan berbesar hati mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan juga bantuan yang telah diberikan oleh pengunjung kami sama ada yang kami kenali atau pun tidak. Tanpa mereka semua apalah yang ada pada Menara Kehidupan ini. Memang menjadi lumrah kehidupan jika kita berjaya di dalam sesuatu bidang adalah daripada bantuan yang Maha Esa dan mereka-mereka yang ada di sekeliling kita. Kami terus berharap blog menara kehidupan ini terus subur sampai bila-bila selagi kami ada kudrat untuk melakukannya. Sekian dari kami sekeluarga dan memang kami mengharapkan sokongan dari pelayar semua untuk menerus catatan kami ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan