Sabtu, 17 September 2011

Perbezaan Baik hati dengan Murah Hati

Tiba-tiba artikel ini mengusik jiwa aku selepas kejadian kemalangan tempohari
di hadapan rumah. Aku rasa patut ke aku beri dia kos gantirugi sedangkan dia
yang meluru keluar dari parking haram dan sebelum bergesel aku juga sudah brek
berhenti namun bergesel juga di bahagian belakang kereta aku. Dia keluar kereta
terus mintak ganti rugi dan terus cabut meninggalkan aku yang terpinga-pinga
tanpa sedikit pun mengucapkan terima kasih. Itulah yang aku fikirkan bila
menetap di kawasan apartment yang rata-ratanya berpendapatan sederhana
rendah yang mana masing-masing sering hendak melepaskan diri. Orang lain tidak
bayar bil air tetapi bila kena potong air aku juga yang mengangkat air di tingkat 5
walaupun aku tiada tunggakan air sebab syabas potong guna meter pukal.Adakah
aku yang tidak sabar untuk berpindah ke rumah baruku ini.... Oh!!!......
mungkin juga....10 tahun ku bersabar dengan kerenah jiran-jiran ku ini. Ada yang
baik sangat dan tak kurang juga yang sering mengambil kesempatan.

Kita disuruh berbuat baik dan itulah juga yang diasuh dalam agama kita. Kita
 mudah  kasihan dan cukup sensitif atas kesusahan orang lain. Itu juga merupakan
satu sikap terpuji yang perlu kita semai dan bawa sepanjang hayat.Tetapi mungkin
ada di antara kita yang pada awalnya ikhlas menolong, namun akhirnya sakit
 hati lalu hilang keikhlasan yang dulunya tebal. Hal inilah yang membezakan
murah hati dan baik hati.Bila ingat setiap kejadian itu telah ditetapkan oleh Allah
dan pastinya ada hikmah... akhirnya aku redakan jua kerana tidak mahu peristiwa
itu menganggu fikiran aku lagi. Lagi pun sesama jiran.

Baik Hati

Kita layak dipanggil baik hati jika kita ringan tulang, kita rajin membantu
mana yang perlu. Kita membantu seupaya kita. Seandainya seseorang itu datang
kepada kita dan kita pada waktu itu berkemampuan, maka kita membantunya
seadanya. Kita membantunya dengan penuh rasa ingin membantunya tanpa
mengharapkan apa-apa timbal balas atas bantuan yang dihulur.


Kita akan berasa puas seandainya bantuan kita itu dapat menyenangkan orang
yang kita tolong. Inilah satu sikap yang kian luput dalam diri masyarakat moden
pada hari ini. Sikap ini perlu ditanam kembali pada diri kita serta generasi
mendatang agar hilang sikap pentingkan diri sendiri.

Murah Hati

Namun dalam pada itu ada juga satu sikap yang perlu kita hindari kerana ia
kelihatan baik, tetapi tanpa sedar, ia memakan diri sendiri. Jika dilihat
secara luaran, ia sama seperti baik hati namun jika dinilai secara
keseluruhan, ia bukan baik hati tetapi murah hati. Akibat dari murah hati
ini, selalunya adalah makan hati. Kita cukup mudah membantu orang lain atas
dasar kasihan, walaupun ia baik, perbezaan dengan baik hati adalah di mana
orang yang baik hati akan melihat kemampuan untuk menolong serta impaknya
terhadap dirinya.
Contohnya kita membantu orang yang kita sudah tahu akan
menyusahkan kita kembali dengan perbuatannya. Kita juga mungkin pernah
alami di mana kita kasihan dengan masalah yang dihadapi seseorang itu,
lalu kita membantunya.Namun apabila dia sudah dibantu, kita mula makan
hati dengan perbuatannya.

Inilah akibat murah hati. Kadangkala kita korbankan apa yang kita ada untuk
membantu orang, sedangkan kita tahu yang kita juga memerlukan perkara itu di
kemudian hari kelak. Namun disebabkan ingin membantu kerana kita rasa kita
tidak memerlukannya sekarang, kita akan mula hilang keikhlasan apabila kita
memerlukannya tetapi kita sudah tidak mempunyainya lagi dan kita pula
terpaksa meminta pertolongan orang lain pula. Lebih buruk apabila
pertolongan yang diharapkan itu tidak kunjung tiba.

Bantulah seadanya dan jangan sampai rasa terkilan

Kita sentiasa boleh untuk bersikap baik hati tetapi bukan murah hati. Kita
setiasa boleh membantu tetapi bukan membantu hingga menjeruk rasa. Kita
sentiasa boleh kasihan tetapi ia tidak bermakna kita perlu berkorban hingga
terkorban. Hal murah hati ini sering berlaku dalam keluarga sendiri. Kita
kadang kala terpaksa membantu kaum keluarga tetapi kita juga sudah tahu
sejarahnya dan kita juga sudah tahu tahap kemampuan yang kita mampu lakukan.
Tetapi disebabkan kononnya kaum keluarga, kita teruskan dan seperti mana
yang dijangkakan akhirnya kekecewaan berlaku. Apabila kekecewaan berlaku,
kita sering mengungkit apa yang telah disalurkan. Bukankah ia sudah
menghilangkan lebih banyak ganjaran dan keikhlasan?

Kadang kala kita tidak perasan yang orang baik hati lebih dihormati dan
disegani dari orang yang murah hati. Orang yang baik hati akan terpancar
karismanya dan orang akan datang kepadanya apabila benar-benar memerlukan.
Tetapi orang yang murah hati sering kali dipergunakan oleh orang lain kerana
sikap mudah kasihan yang tidak bertempat. Orang yang murah hati akan dilihat
sebagai orang tidak berpendirian, justeru cukup mudah untuk diminta
pertolongan walaupun ia tidak perlu. Tambahan lagi, sikap murah hati ini
secara tidak langung melatih orang yang dibantu itu untuk menjadi lebih
malas kerana bantuan yang diberikan itu bukan bantuan yang benar-benar
perlu.

Tibalah masanya sekarang untuk kita memilih satu jalan yang jelas dalam
hidup sama ada mahu menjadi orang yang baik hati dan sentiasa terawat
hatinya atau menjadi orang yang mudah hati yang merosakkan jiwanya untuk
jangka masa panjang. Kita perlu membantu orang lain, tetapi bantulah dengan
hati yang baik, bukan hati yang murah.

Lebih baik ku bermunajat meminta ketenangan. Mudah-mudahan dengan
keikhlasan hati, hidup kita lebih diberkati-Nya. Amiin.

Sumber : Dr Azhar Hj Sarip . Motivator 

3 ulasan:

  1. niat kita yg penting...insya-Allah, ada ganjarannya. Allah gantikan "kerugian" kita hari ini dengan keberuntungan dihari lain...

    BalasPadam
  2. fuh ulasan yg panjang lebar serta tersisip penuh pengajaran ..sabaq jer bro

    BalasPadam
  3. kekadang tu aku terpikir juga macam kena pukau sebab masanya terlalu pantas... entahla... berjiran dgn indon ni memacam rasa.... owner rumah dah ramai yg sewakan dgn pelbagai org... walau berjiran satu blok tapi masa eksident baru bertegur...

    BalasPadam